MARI KITA DUDUK SEBENTAR…
KITA BERIMAN SEJENAK…
Para da’i mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan: Tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal salih dan azam kebaikan. Tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya.
Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain.
Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran.
Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan.
Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid’ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.
Mu’az bin Jabal – mengingatkan sahabatnya: إجلس بنا نؤمن ساعة (Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).
Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad Dardaa’ (ra) sambil memegang tangannya: تعال نؤمن ساعة إن القلب أسرع تقلبا من القدر إذا استجمعت غليانا(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak-balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).
Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Nasihat-nasihat ini (siri-siri buku ini) adalah tentang fiqh ad da’wah. Kita menyeru para da’i untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.
Sisa…. Dan Harapan
Siri-siri buku ini ditulis untuk:
-para du’at; mereka yang menunaikan solat dan merasa bangga megah dengan agama mereka; yang berakhlak dengan akhlak mukminin.
-Tidak ditujukan kepada yang lalai, lebih-lebih lagi yang menyeleweng.
Sebab:
“Ini adalah kerana untuk menyelesaikan permasalahan dunia Islam hari ini, tidak perlu kepada berpindahnya bilangan yang besar dari mereka yang lalai dan menyeleweng kepada berpegang-teguh dengan Islam. Tetapi apa yang diperlukan ialah menyedarkan mereka yang sudah pun berpegang dengan Islam, membangkitkan kesungguhan mereka dan memperkenalkan kepada mereka jalan amal dan fiqh da’wah. Masih ramai dari kalangan orang-orang mukmin, bilangan mereka sudah mencukupi untuk menegakkan kebaikan yang kita cita-citakan, tetapi dengan syarat apabila mereka mengenali tajarrud (menyerahkan diri hanya untuk Islam), zuhud terhadap dunia, menjauhkan diri dari fitnah, sabar atas segala mihnah dan memahami seni memimpin ummat.”
Oleh sebab itu, siri-siri buku ini tidak akan berbicara dengan:
orang yang masih mencampur-adukkan antara Islam dan lainnya.
Tetapi ia hanya memadai untuk mengajak muslim, yang:
-benar imannya, suci aqidahnya,
-merasa perit dan sedih dengan realiti ummat muslimin hari ini.
Buku ini akan mengajar kepadanya:
-jalan beramal yang berfaedah dan jalan penyelamat,
-memandunya kepada kewajipan untuk mempertingkatkan tarbiyyah dirinya dalam memenuhi tuntutan perjalanan.
Buku ini juga ditujukan kepada para du’at yang sudah mengetahui jalan amal, akan tetapi, mereka masih memerlukan:
-pengukuhan (bantuan), peningkatan usaha dan proses melembutkan hati.
“Sesuatu perkataan tidak akan kekal di sisi generasi kecuali jika ia berhubung dengan kebenaran dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat pertolongan daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan sentiasa diilhamkan kepada hamba-hambaNya.
Berapa banyak kilatan yang dipancarkan oleh raja yang zalim atau berhala yang masyhur mengeluarkan gema seketika, memancarkan cahaya sebentar, kemudian padam dan senyap, seperti bintang yang bertukar menjadi habuk dan debu selepas terbakar. Ditambah lagi bahawa gemanya adalah daripada suara kebatilan, bukan kebenaran dan kilatannya daripada hiasan kebatilan bukannya kebenaran.”
Hanya aqal yang faham, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan kebenaran apa yang dibawanya sahaja boleh mengucapkan kebenaran yang kekal.
Dia mengeluarkan kata-katanya yang menjadi contoh-contoh yang realiti dan keterangan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga kejadian tertentu, akan tetapi ia mencakupi semua generasi dan setiap ketika, negara dan kawasan.
Syair Menjadikan Perkataan Menarik
Aku mendapati sesetengah bukutarbiyyah harakah Islamiah memisahkan antara prosa dan puisi tanpa alasan yang kukuh. Menjadikan para murabbi (pendidik) tidak dapat menggunakan beratus-ratus rangkap dan petikan puisi yang boleh melembutkan hati atau membangkitkan semangat atau puisi yang berkaitan dengan aqidah dan fikrah yang merupakan hasil karya para pemuisi yang thiqah sama ada yang lama atau moden juga para pemuisi dakwah. Seseorang berkemungkinan ketika mendengar suatu pengertian, tetapi sedikitpun tidak menyentuh perasaannya, tetapi apabila digubah dalam bentuk rentak puisi tertentu akan menggembirakan orang yang gundah gelana, menggerakkan orang yang lalai dan mendekatkan cita-cita yang dulunya terasa jauh.
Bukti yang paling jelas tentang kepentingan syair dalam menyebarkan aqidah dan mempertahankannya, ialah peranan yang telah dimainkannya ketika membantu ahli-ahli bid’ah untuk menyebarkan bid’ah di kalangan masyarakat awam. Usaha-usaha ini dilakukan untuk menentang usaha-usaha Ibnu Taimiyyah serta pengikut-pengikutnya ketika mereka berusaha membatalkan segala bid’ah dengan hujjah-hujjah sunnah yang mulia.
Fenomena ini mendorong aku untuk memasukkan puisi-puisi dalam siri buku-buku ini.
Generasi Silam Dan Pengikut
Al Imam Ahmad menjadi ikutan kita dalam menggunakan syair yang melembutkan hati. Dia menghafal sebahagian syair yang kemudiannya ditulis oleh Tha’lab; seorang sasterawan yang masyhur. Murid-muridnya pernah mendengar dia bersyair dan pada hari mehnahnya para penyair telah memujinya. Bahkan dikatakan beliau telah mengucapkan beberapa keratan syair kerana tidak berpuas hati terhadap ‘Ali bin al Madiiniy yang tidak sabar bersamanya ketika menghadapi penyiksaan.
Pernah pula salah seorang muridnya telah berkata: (Wahai Abu ‘Abdullah: Apakah pendapat kamu terhadap syair yang mengandungi sebutan syurga dan neraka? Beliau berkata: Seumpama apakah syair itu?
Muridnya menjawab: Mereka berkata: (membacakan syair)
Maksudnya:
إذا ما قال لى ربى
أما استحييت تعصينى
وتخفى الذنب من خلقى وبالعصيان .. تأتينى
Ketika berkata tuhan kepadaku
Tidakkah malu maksiat terhadapku,
Menyembunyikan dosa dari makhlukku
Dengan penuh noda mengadapku?
Lalu beliau berkata: Ulangi sekali lagi.
Berkata muridnya: Lalu aku ulangi sekali lagi, lalu ia (Imam Ahmad) bangun dan memasuki rumahnya serta menutup pintu. Ketika itu aku mendengar suara tangisannya dari dalam dan beliau mengulangi syair tadi.
Semangat pemuda Islam di permulaan abad baru..
Seterusnya..
Kurun yang lepas telah menyaksikan luka-luka yang memeritkan pada seluruh dunia Islam. Serangan musuh Islam telah sampai ke kemuncaknya. Tetapi sungguhpun begitu, cubaan untuk menanganinya semula telah dilakukan oleh mereka yang mempertahankannya. Walaupun kemenangan belum diperolehi, tapi sekumpulan pemuda Islam telahpun terdidik dan bangkit sedar. Keazaman mereka telah mantap. Ini semua meyakinkan lagi kepada kita bahawa Islam pasti menang dalam kurun ini .. Insya Allah !
No comments:
Post a Comment