Sunday, May 23, 2010

kematian itu pasti


Photobucket




Mati adalah satu kejadian yang hebat dan pasti akan dihadapi oleh setiap yang bernyawa. Ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dihindarkan walau dengan apa cara sekali pun. Manusia juga akan menghadapi saat kematian. Ini jelas dari Firman Allah yang bermaksud:-

`Tiap-tiap yang bernyawa (bernafas) pasti akan merasai maut.’
(Surah Ali Imran: Ayat 185)

Dari ayat di atas, jelas bahawa manusia bakal mati. Hidup manusia di dunia ini adalah buat sementara waktu saja. Apabila mati, manusia akan dibawa ke alam barzakh (kubur). Kemudian ia akan dihidupkan kembali untuk menuju ke alam akhirat.

Namun demikian mati adalah satu rahsia Allah. Tidak ada seorang pun manusia yang berani mendabik dada mengatakan bahawa ia mengetahui saat kematiannya. Dan tidak ada seorang pun yang berani mengatakan bahawa ia akan hidup kekal di dunia ini buat selama-lamanya.

Sedar akan hakikat bahawa mati adalah satu kejadian yang paling hebat maka perbuatan melupakan mati atau tidak mengingati mati adalah satu perbuatan yang tidak dapat dipertanggung jawabkan.

Seorang manusia tidak sepatutnya mengabaikan tentang persoalan mati sedangkan mereka tahu bahawa mereka pasti akan menghadapi saat kematian. Orang yang tidak menghiraukan langsung tentang persoalan mati dapat diumpamakan sebagai seorang yang memasukki satu daerah yang sama sekali baru baginya dalam keadaan yang gelap gelita. Sudah pasti dia tidak dapat melangkah dan tidak tahu ke mana yang hendak dituju.

Begitulah juga keadaannya dengan roh manusia yang telah mati yang tidak pernah mengingati soal kematian – tidak pernah mempelajari masalah mati dan tidak mempunyai ke-percayaan atau keyakinan tentang persoalan mati.

Untuk menghindar dan menghadapi nasib yang demikian maka agama Islam menganjurkan kita supaya tidak mengabaikan saat kematian. Kita juga dikehendaki supaya mengetahui hakikat mati supaya kita dapat menempuh saat kematian dengan penuh pengertian dan kesabaran.

Satu persoalan yang mungkin timbul difikiran kita apabila membicarakan tentang soal mati ialah mengapakah agama Islam menyuruh umatnya mengingati mati sedangkan mati itu adalah satu perkara yang tidak menarik atau tidak menggembirakan. Mati sebaliknya adalah satu perkara yang amat ngeri dan menegakkan bulu roma.

Untuk memecahkan persoalan di atas maka eloklah kita renungkan hadis berikut:-

Berkata Ibnu Omar r.a : Pada suatu hari aku datang berjumpa Rasulullah s.a.w yang sedang berada ditengah para sahabat yang terkemuka. Lalu berdiri salah seorang sahabat dari Ansar bertanya Rasulullah:-
`Ya Rasulullah ! Siapakah yang paling pintar dan siapa pula yang paling cerdas akalnya ?’
Rasulullah menjawab:-
`Yang paling cerdas dan yang paling pintar ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan yang banyak bekal menghadapi mati. Merekalah yang paling pintar dan yang paling cerdas kerana mereka mendapat kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat.’

Dari hadis di atas, jelaslah bahawa mengingati mati adalah suatu perbuatan yang perlu dilakukan oleh setiap orang yang menghuni alam yang fana ini. Namun demikian, bukanlah bermakna bahawa dengan mengingati mati itu kita meminta supaya lekas mati.

Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa orang yang mengerti akan hakikat mati – yang mempunyai kepercayaan dan keyakinan tentang masalah mati, bererti orang ini mengerti akan hakikat hidup.

Orang yang mengingati mati dengan pengertian dan kesedaran serta dengan keyakinan dan kepercayaan, hidupnya tidak akan merasa derita dan sengsara. Sebaliknya, orang yang tidak pernah memikir dan mempelajari masalah mati dalam hidupnya dan tidak percaya kepada Tuhan, akan menghadapi matinya dalam keadaan derita dan sengsara.

Orang yang mengetepikan persoalan mati, sekali pun pada masa hidupnya dia sihat walafiat, kaya raya dan hidupnya mewah tetapi pada saat matinya dia akan menghadapi pen-deritaan yang paling hebat – satu penderitaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan dikhayalkan dengan fikiran.

Bagi orang yang sering mengingati mati dan mempunyai keyakinan serta kepercayaan yang tertentu mengenai hidup dan mati, sekali pun berada dalam kekhuatiran dan ketakutan, tetapi kekhuatiran itu ada batasnya – kekhuatiran danketakutan yang masih mengandungi harapan-harapan tertentu.

Mereka akan menghadapi mati bukan dalam keadaan putus harapan, tetapi mereka akan menghadapi mati dengan harapan yang amat besar – dengan harapan yang kukuh dan teguh.

Oleh itu dapatlah dikatakan bahawa mengingati mati bukanlah satu perbuatan yang menakutkan diri. Sebaliknya, mengingati mati adalah satu tindakan yang boleh menghilangkan segala ketakutan.

Orang yang sedar akan saat kematian akan bersiap sedia untuk menghadapinya dengan penuh yakin dan tabah. Ia akan lebih bergiat untuk menempuh hidupnya bagi mencapai keredhaan Allah baik di dunia mau pun di akhirat.

Rasulullah dan para sahabat baginda adalah orang yang paling banyak jasa terhadap bangsa dan tanah air serta yang paling hebat perjuangan dan jihadnya dalam hidup. Tetapi mereka tidak lupa untuk mengingati mati malah mereka adalah orang yang paling banyak mengingati mati.

Dari itu dapatlah dikatakan bahawa orang yang tidak mengingati mati adalah orang yang hidup dalam kerugian. Sesungguhnya mati akan mengunjungi sesiapa saja dan ia tidak mengenal pangkat atau darjat, kaya atau miskin, senang atau susah.

Keadaan ini jelas dinyatakan Allah dengan Firman Nya yang bermaksud:-

`Dimana saja kamu berada pasti mati men-datangi kamu sekali pun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat.’
(Surah An Nisa’: Ayat 78)

Susunan : Hashim bin Ahmad

__________________________________________________________________________________


Salam alaykum pengunjung sekalian.

Di kesempatan ini, cik mus'ab mohon agar kalian sedekahkan Al-fatihah untuk arwah nenek saudara cik mus'ab yang baru sahaja meninggal dunia tadi. ( 23 mei 2010 ) .



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Loading...
Powered by Blogger.